Thursday, 27 December 2012

Tuntutan doa dan zikir..terapi diri,selami jiwa



Sebagai seorang Muslim, doa dan zikir perlu menjadi pendamping diri seseorang Muslim itu tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Bahkan di dalam kehidupan pada masa moden ini, dua perkara ini perlu menjadi pakaian kepada masyarakat Islam. Tidak perlu merasa susah melakukan dua amalan ini kerana doa dan zikir boleh dilakukan secara perlahan sekiranya kita berada di dalam keadaan yang tidak membenarkan kita untuk melakukannya secara kuat, begitu juga sebaliknya.
Doa itu bekal, doa itu senjata, jika para anbiya saban malam , bersengkang mata memohon perjuangan mereka dirahmati ILAHI, apatah lagi kita sebagai hamba nina dina ini, Yang akan terus melangkah jauh. Jadi, mengapa harus lalai untuk meminta? Jangan sombong dengan Khaliq kerana DIAlah yang amat mengetahui Apa yang diperlukan oleh hamba-NYA. Sesungguhnya, apa yang diberi oleh ALLAH adalah lebih banyak berbanding apa yang dipinta!!!.
Allah telah berfirman di dalam sebuah hadis Qudsi:

AKU terserah persangkaan hamba-KU. AKU bersamanya ( membaeri rahmat dan membelanya ) apabila dia menyebut nama-KU. Apabila dia menyebuta nama-Ku dalam dirinya, AKU menyebut namanya pada diri-KU. Apabila dia menyebut nama-KU dalam perkumpulan orang ramai, AKU menyebutnya dalam perkumpulan lebih banyak daripada mereka . Apabila dia dekat kepada-KU sejengkal ( dengan melakukan amal soleh atau berkata baik ) , maka AKU akan mendekatinya sehasta. Apabila dia dekat kepada-KU sehasta, maka AKU akan mendekatinya sedepa. Apabila dia datang kepada-KU dengan berjalan
( biasa ) , maka AKU mendatanginya dengan berlari.
Berdasarkan kandungan hadis Qudsi ini, sedarkah kita bahawa Allah SWT amat menyukai hamba-NYA berdoa kepada-NYA, sentiasa meminta kepada-NYA , sentiasa mengingati-NYA, sentiasa menyebut nama-NYA dan sentiasa meminta pertolongan-NYA. Justeru, kita perlu sentiasa melakukan hal-hal demikian kerana tuntutan doa dan zikir di dalam kehidupan seharian seseorang Muslim itu amat penting.
Pernah salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w iaitu Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada baginda supaya baginda mendoakan dirinya supaya menjadi di antara orang-orang yang makbul doanya tetapi baginda menjawab supaya Saad bin Waqqas ini memakan makanan yang baik, ( halal ) pasti beliau akan menjadi orang yang makbul doanya. Dan Rasulullah juga menegaskan bahawa orang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, ( perutnya ) maka Allah SWT tidak akan memakbulkan doanya selama 40 hari. Malahan tempat untuk orang-orang yang suka memakan makanan yang haram adalah neraka yang paling berhak ke atas diri mereka.
Justeru, seseorang itu perlu mengetahui tatacara berdoa sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w antaranya adalah perlu mengelakkan dari memakan atau memasukkan ke dalam badan sesuatu yang haram. Seorang individu yang bergelar Muslim perlu menitikberatkan asas pengambilan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang tidak diketahui status halal atau haramnya. Kerana Allah SWT memerintahkan kepada hamba-NYA untuk memakan makanan yang dibenarkan oleh-NYA, Justeru , ini merupakan satu bentuk ketaatan kita terhadap Sang Pencipta dalam memenuhi segala perintah-NYA.  
Sebagaimana telah disebut di dalam Al Quran :

Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.-   
Surah Al Baqarah : 168

Selain itu, kita perlu mengetahui waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa, memang kita boleh berdoa di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Tetapi sekiranya berdoa pada waktu-waktu pada saat yang tepat dapat memudahkan doa kita untuk termakbul, InsyaAllah..
Di antara waktu-waktu yang terbaik untuk berdoa ialah pada waktu tengah malam, sepertiga malam sehingga ke fajar, antara azan dan iqamah, ketika sujud, pada bulan Ramadhan, ketika khatib duduk di antara dua khutbah pada solat jumaat dan pada malam lailatulqadar. Dan Nabi Muhammad s.a.w juga pernah berkata bahawa waktu yang paling baik juga adalah ketika sujud terakhir solat fardhu.
Terdapat juga hari-hari yang baik untuk berdoa iaitu pada hari Arafah, hari Jumaat, hari waktu sahur, ketika turun hujan, saat mulai pertempuran, dalam ketakutan dan juga ketika sedang bersedih. Malahan orang-orang yang makbul doanya adalah seorang yang keluar bermusafir dengan tujuan yang baik, orang yang menolong orang lain yang sedang dalam kesusahan, orang Islam yang mendoakan rakannya ketika berjauhan, doa orang soleh, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka, doa seorang penguasa yang adil dan doa orang yang teraniayai sebagaimana yang telah disebut di dalam sebuah hadis iaitu :
 Ada tiga orang yang tidak akan ditolak doa mereka : orang yang berpuasa hingga dia berbuka, seorang penguasa yang adil dan doa orang yang dianiyai. Doa mereka diangkat Allah SWT ke atas awan dan dibukakan baginya pintu langit dan Allah SWT berfirman, “ Demi Keperkasaan-KU, AKU akan memenangkanmu ( menolongmu ) meskipun tidak segera. Hadis Riwayat at-Tirmidzi







No comments:

Post a Comment