Agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Tetapi tidak ramai Muslim pada hari ini banyak
berbicara mengenai Islam dan politik melainkan dua perkara ini didapati telah
diasingkan kedua-duanya. Dan telah meletakkan setiap satu dari kedua perkara
ini pada sisi yang berbeza.
Menurut persepsi orang ramai kedua-dua unsur ini tidak mungkin
bertemu dan bersatu. Dari sini dinamakan sesebuah persatuan sebegini persatuan
Islam, bukannya persatuan politik, iaitu pertemuan keagamaan yang tidak berbaur
politik. Dapat dilihat pada isi kandungan perundangan Persatuan Islam dan
dasarnya iaitu jangan mencampuradukan persatuan dengan urusan politik.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka
tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: "Tuhan kami
hanyalah Allah". dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian
manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara
Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid,
yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong
orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi
Maha Perkasa,”..”(yaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka
di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh
berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah
kembali segala urusan.”( Surah Al-Hajj, ayat 41-42)
Hassan Al Banna (1948) ketika di tanya tentang Jemaah Ikhwan dan
politik Mesir, beliau menjawab bahawa Ikhwan tidak terlibat dalam politik
secara murahan iaitu dengan tujuan untuk menjatuhkan orang lain dan mengangkat
kebaikan dirinya. Namun Ikhwan mnyertai politik kerana ia adalah tanggungjawab
besar bagi Umat Islam di akhir abad ini.
Bahkan Imam Hassan Al Banna telah mengutarakan dua pandangan beliau
di dalam perkara ini iaitu pandangan yang pertama: Sesungguhnya perbezaan
adalah jauh antara berparti dan berpolitik. Adakalanya ia bersatu dan
adakalanya berpecah. Adakalanya seseorang itu berpolitik dengan segala makna
yang terkandung pada kalimah tersebut sedangkan dia tidak berhubung apa-apa
parti dan tiada kaitan.
Adakalanya ia adalah orang parti sedangkan tidak tahu langsung
berkaitan soal politik. Adakalanya digabungkan antara keduanya maka ia adalah
orang politik yang berparti atau orang parti yang tidak berpolitik secara
saksama. Apabila saya berbicara tentang politik dengan kalimah ini, saya
maksudkan ialah politik yang mutlak, iaitu melihat hal-ehwal dalaman umat dan
luarannya tanpa mengaitkan dengan kepartian sama sekali. Ini satu perkara.
Pandangan kedua: Orang-orang bukan Islam apabila jahil tentang
Islam atau tidak berupaya untuk berhadapan dengan kecekalan penganutnya dan
Islam kuat berpaut di jiwa kaum muslimin, serta kesediaan kaum muslimin untuk
berkorban dengan jiwa dan harta, maka mereka tidak cuba untuk mencemari nama
Islam yang terpahat di jiwa muslimin atau mencemari fenomena dan perilaku zahir
Islam, tetapi mereka cuba untuk membataskan makna Islam pada skop sempit yang
boleh melenyapkan segala aspek kekuatan amali Islam.
Jika ada yang ditinggalkan pada kaum muslimin ia hanyalah kulit
yang meliputi gelaran-gelaran, gambaran zahir dan bentuk-bentuk lahiriyyah yang
tidak memberi manfa’at. Mereka mengajar orang Islam bahawa sesungguhnya Islam
adalah perkara yang lain dan sosial adalah perkara yang lain pula. Islam adalah
perkara lain dan undang-undang adalah perkara lain, Islam lain dan permasalahan
ekonomi adalah perkara lain yang tiada hubungan dengannya.
Islam adalah perkara lain dan kebudayaaan umum adalah perkara yang
lain. Sesungguhnya Islam adalah perkara lain yang perlu berjauhan dengan
politik.
Ceritakanlah kepadaku dengan nama Tuhanmu wahai saudara sekalian,
sekiranya Islam adalah lain dari poltik, sosial, ekonomi, kebudayaan maka Islam
apakah ini? Adakah ia semata-mata rakaat yang kosong dari hati khusyu’ atau
hanyalah kata-kata yang diungkapkan oleh Rabiah Adawiyyah: “ Istighfar
berhajat kepada istighfar yang lain.” Tidakkah kerana ini wahai saudara sekalian
Al Quran menurunkan sistem yang sempurna, penimbangtara dan terperinci:
Islam adalah agama yang lengkap lagi sempurna. Al Quran telah
membentangkan kepada umatnya seluruh persoalan hidup, Al Quran menceritakan
pemimpin yang zalim dan diktator seperti Fir’aun dab Namrud. Al Quran juga
menyebut kepimpinan yang adil lagi telus seperti Nabi Yusuf, Sulaiman dan
lain-lain.
Islam mempunyai undang-undang dan sistem kehakiman yang tersendiri.
Undang-undang Islam yang menggabungkan persoalan fizikal dan rohani membuktikan
Islam adalah agama yang mampu mentadbir politik dan Negara.
Pergerakan politik dalam Islam ialah berpunca daripada agama ini
mengambil berat persoalan umat. Di mana setiap umat berhak mendapatkan keadilan
dan mereka mesti dibela apabila ditindas oleh pihak lain. Pemisahan politik
daripada Islam akan menyebabkan berlakunya kepada kepada pemisahan kehidupan
daripada Islam.
Politik juga ialah pengurusan hal ehwal manusia. Hal ehwal manusia
adalah sangat luas dan banyak sebagaimana luasnya kegiatan manusia. Secara
kasarnya bidang utama kehidupan manusia ialah ekonomi, pendidikan,
kemasyarakatan, ketenteraan, perniagaan, kewartawanan, keusahawan dan
lain-lain.
Segala kegiatan di atas akan berkembang mengikut arus politik.
Sekiranya politik itu meletakkan Islam sebagai asasnya maka seluruh kegiatan
tersebut akan menjadi Islamik. Oleh itu, pemisahan politik daripada Islam
adalah pemisahan kehidupan daripada Islam seluruhnya.
Politik tanpa Islam ialah politik sekular, di mana para penganutnya
akan melakukan apa sahaja untuk mencapai puncak kekuasaan yang dihajatinya.
Mereka tidak mengenal dosa dan pahala, curang dan setia, lawan dan kawan, ia
adalah politik yang tidak berpanduan dan beretika.
Dan ianya adalah politik nafsu dan mengikut kehendak naluri
semata-mata. Adapun politik yang dibangunkan atas asas Ekonomi Liberalisme,
Komunisme, Sosiolis-Nasionalisme, Sosialis-Demokrasi adalah kaedah yang
sementara, di mana ia hanya dapat mengubat penyakit untuk sementara waktu
sahaja.
Politik sekular adalah bertentangan dengan Islam, Muhammad ‘imarah
berhujjah dengan sejarah Saidina Abu Bakar (r.a) yang bertekad untuk menyerang
kaum murtad kerana tidak membayar zakat dan menolak logika Umar Al-Khatab yang
memberi hujahnya.
Bermaksud: Bagaimanakah kamu mahu memerangi mereka sedangkan mereka
mengucap dua kalimah syahadah.
Tetapi Saidina Abu Bakar berkata yang bermaksud: Demi Allah,
kalau mereka menegah walau sedikit apa yang mereka laksanakan di zaman
Rasulullah ( s.a.w.), pasti aku akan perangi mereka.
Ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar memahami tentang kaitan
antara agama dan kekuasaan politik kerana fardhu zakat tidak dapat berjalan
dengan baik sekiranya tidak ada kuasa politik mencampurinya.
Politik Islam adalah wajib dilaksanakan kerana Islam adalah agama
kehidupan dan bukan agama untuk ibadah semata-mata.
Namun jika kita membuka lembaran Al Quran kita tidak menemui Al
Quran menyatakan secara langsung menyatakan wajibnya berpolitik. Al Quran telah
mewajibkan melaksanakan tuntutan-tuntutan agama, di mana segala tuntutan itu
adalah mustahil dapat dilaksanakan tanpa politik dan Negara.
Contohnya melaksanakan undang-undang hudud, qisas, ta’zir, zakat,
penghapusan riba dan lain-lain. Kesemua tuntutan di atas tidak mungkin dapat
dilaksanakan kecuali melalui politik dan sebuah Negara Islam.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berpolitik, ini dibuktikan dengan
tertegaknya sebuah Negara Islam yang pertama, ditubuhkan oleh Nabi Muhammad
s.a.w. iaitu Madinah Al Munawwarah. Ia digelar Darul Hijrah. Semuja Negara yang
berada di luar Kota Madinah digelar Negara Kufr dan Negara Harb. Negara Islam
terus bertambah luas hasil daripada pembukaan kota-kota dan penyatuan
Negara-negara berhampiran.
Malahan, Rasulullah juga menggunakan masjid sebagai medan untuk
menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan urusan pemerintahan Negara. Tidak
cukup dengan itu, masjid juga digunakan sebagai tempat untuk bermusyawarah,
berbaiah dan sebagainya.
Sekiranya kuasa politik tidak dibenarkan dikuasai oleh Nabi SAW
bagaimana Islam boleh menakhluki 2/3 kuasa dunia yang seterusnya disambung
perjuangan dakwah baginda oleh para Khulafa’ Ar- Rasyidin dan khalifah Islam
sehingga pada hari ini. Begitu juga dengan sejarah kegemilangan Islam semasa
pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Khalifah Harun Ar-Rasyid, Sultan
Salahuddin Al-Ayubi dan lain-lain lagi.
Sejarah inilah yang membuktikan bahawa Islam telah lama mengamalkan
politik Islam. Tiada istilah yang boleh mendakwa Islam mengasingkan politik
daripada kehidupan. Hal inilah yang perlu dijadikan hujjah yang kuat untuk
menangkis persepsi sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Islam dan politik
tidak boleh dicampuradukkan. Kerana politik yang tidak bertamadun memerlukan
Islam sebagai petunjuk dan panduan bagi melaksanakan sistem pemerintahan yang
sempurna malah begitu juga sebaliknya.
No comments:
Post a Comment