Monday, 31 December 2012

Fenomena Ustaz Azhar Idrus


Gelaran ‘ustaz youtube’ yang diberikan kepada ustaz Azhar Idrus semakin dikenali pada hari ini dan mendapat tempat di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan belia. Fenomena ini dilihat satu revolusi baru yang tidak dijangka tatkala ramai pendakwah bebas yang berlumba-lumba untuk memikat hati para anak muda supaya dekat dengan Islam maka ianya boleh dianggap sebagai satu fenomena baru yang digelar “ fenomena ustaz Azhar Idrus”.Ternyata kemunculan ustaz kelahiran Terengganu ini berjaya membuat satu perubahan yang besar kepada umat Islam di mana mereka mula menerima sedikit demi sedikit cahaya kebenaran yang telah lama dilupakan oleh mereka pada hari ini. Bahkan wujudnya golongan belia yang telah tersasar dari landasan Islam yang sebenarnya seperti Mat Rempit, penagih dadah, bekas banduan dan yang sewaktu dengannya juga tidak terkecuali daripada terkena tempias ini.Malahan, salah satu faktor tercetusnya fenomena ini adalah disebabkan kemunculan media baru ini. Tidak ada keraguan lagi, kemunculan media baru ini merupakan salah satu medium dakwah yang menjadi peluang keemasan kepada para pendakwah. Bahkan, pada era masa kini, mustahil bagi sesiapa yang langsung tidak mengenali apa itu “FACEBOOK”, ini kerana ianya merupakan satu gejala baru di dalam masyarakat tanpa mengira yang tua, muda, miskin dan kaya.Ramai yang mendakwa, penyampaian yang disampaikan oleh ustaz Azhar ini adalah paling popular kerana teknik ceramah beliau dapat mendekati golongan Muslim pada hari ini. Teknik yang dimaksudkan ialah dengan lawak yang bersahaja dan bahasa yang diguna pakai terlalu sempoi. Bahkan setiap kuliah yang disampaikan oleh beliau pasti akan dibanjiri ribuan peminat seolah-olah penonton sesebuah konsert. Tambahan, kemudahan dan kepantasan media massa dalam menyebarkan sesuatu maklumat digunakan sebaiknya oleh penggemar ilmu Islam yang cepat bertindak. Mereka akan memuat naik video-video ceramah terbaru ustaz terbabit dengan kadar segera.Malahan, nama ustaz Azhar juga menjadi sebutan ketika bersembang di kedai kopi, warung dan seumpamanya. Bahkan ada juga pihak yang berani memasang cakera padat ceramah beliau di tempat awam contohnya di dalam bas, kedai makan, dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung masyarakat dapat didedahkan tentang isu-isu yang berkaitan dengan Islam dengan lebih terperinci.Tetapi media massa kerajaan yang bersifat berat sebelah tidak membenarkan kemunculan beliau diuar-uarkan. Justeru, munculnya sesetengah pihak yang bertanggungjawab mengambil berat tentang keadaan ummah berusaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam di dalam jiwa masyarakat Muslim.Terbaru, majalah-majalah Islam juga tidak ketinggalan dalam membuat liputan istimewa tentang peribadi beliau seperti An-Nur, Solusi dan sebagainya. Kisah beliau menjadi bahan utama, bahkan menjadi sumber inspirasi kepada golongan penuntut ilmu. Gambar wajah beliau juga turut dijadikan sebagai hiasan pada baju-baju, sticker kenderaan dan sebagainya.Malahan, inilah yang banyak membantu meningkatkan populariti beliau setanding dengan gelaran “bintang paling popular” di Malaysia. Justeru, pendekatan inilah yang telah berjaya mengubah persepsi sesetengah masyarakat pada hari ini supaya mendekati Islam yang sudah lama dilupakan.Kesimpulannya, kemunculan baru ini merupakan satu titik permulaan kepada ribuan pendakwah yang berada di luar sana di mana mereka masih teragak-agak untuk menceburi bidang dakwah. Tambahan pula, ianya perlu menjadi suntikan semangat kepada golongan ini supaya mereka dapat mengubah Muslim ke arah husnul khatimah. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment